ROTTERDAM – Belanda memulakan kempen Kelayakan Euro 2020 dengan penuh bergaya apabila membelasah Belarus 4-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Feyenoord awal pagi semalam, sekali gus mengungguli saingan Kumpulan C.
Penyerang utama, Memphis Depay berjaya membuktikan kemampuannya apabila meledak dua gol buat pasukan The Oranje itu, sementara dua gol lagi masing-masing dijaringkan Georginio Wijnaldum dan Virgil van Dijk.
Jurulatih Belanda, Ronald Koeman bagaimanapun masih belum berpuas hati dengan corak permainan yang ditampilkan anak-anak buahnya dan menganggap mereka bermain sambil lewa.
“Kami bermain tidak serius. Pemain-pemain dilihat bermain terlalu selesa dan saya tidak gemar corak permainan seperti itu. Bagaimanapun, kami mula bermain dengan baik apabila separuh masa kedua bermula.
“Selepas mendahului 1-0, kami sepatutnya beraksi lebih berdisiplin dan menguasai perlawanan. Namun, pasukan lawan tetap berjaya melakukan beberapa percubaan ke arah pintu gol kami,” kata Koeman.
Bekas pengurus Everton itu juga turut memuji aksi yang ditampilkan Depay apabila pemain Olympique Lyon berkenaan banyak membantu pergerakan pasukan, selain turut mencipta beberapa peluang menjaringkan gol.
“Saya tahu dia seorang pemain yang hebat dan saya sering melihat aksinya. Memphis merupakan pemain yang sangat penting untuk kami dan dia berjaya buktikannya pada perlawanan hari ini (semalam),” ujarnya. – Agensi











