PARIS 6 Mac AFP – Paris Saint-Germain (PSG) akan membuat keputusan saat-saat akhir berhubung kecergasan Edinson Cavani bagi menentukan sama ada penyerang tersebut mampu membarisi skuad tersebut untuk berdepan Manchester United pada saingan 16 akhir Liga Juara-Juara, esok.
“Dia telah menjalani latihan dengan penuh dalam dua sesi tersebut bersama kami, namun kami akan tentukannya nanti selepas berlatih.
“Kami perlu tunggu dan lihat bagaimana tahap kecergasannya, mungkin kan akan menetapkan keputusannya pada awal pagi ini,” kata pengendali PSG, Thomas Tuchel.
Penyerang kebangsaan Uruguay itu disisihkan sejak mengalami kecederaan tendon di pinggulnya ketika mengambil sepakan penalti di Ligue 1 menentang Bordeaux pada 9 Februari lalu, beberapa hari sebelum pertembungan pertama menentang United, di mana PSG menang 2-0.
Neymar kekal disisihkan daripada barisan juara Perancis itu, dengan penyerang tersebut dijangka tidak akan pulih daripada kecederaan kaki dalam tempoh beberapa bulan.- AFP











