Datuk Huzir Mohamed pangku jawatan Pengarah JSJ - Utusan Malaysia

Datuk Huzir Mohamed pangku jawatan Pengarah JSJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed memangku jawatan Pengarah JSJ selepas penyandangnya, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. bersara wajib hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Wan Ahmad Najmuddin yang berusia 61 tahun sudah menabur bakti selama 40 tahun sebaik memulakan karier bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 12 Mei 1979.

“Sepanjang berkhidmat dalam PDRM, beliau sudah memegang pelbagai jawatan penting seperti Ketua Polis Daerah Sandakan, Pegawai Khas kepada Yang di-Pertuan Agong dan sebagainya sebelum mengakhiri perjalanan karier sebagai Pengarah JsJ sejak 15 September 2017.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Beliau juga adalah Pengarah JSJ yang ke-16 memegang jawatan terbabit, sepanjang setahun enam bulan menjadi pengarah banyak kejayaan yang dihasilkan,” katanya ketika sidang akhbar pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Majlis Pemakaian Pangkat dan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan negara di Pulapol disini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi turut memberitahu, pihaknya sudah mengemukakan beberapa nama kepada kerajaan dan Suruhanjaya Pasukan Polis bagi memilih calon menggantikan Wan Ahmad Najmuddin.

“Setakat ini, kekosongan tersebut dipangku oleh Datuk Huzir atas faktor kekananan jawatan dan pengalaman luas yang dimilikinya dalam siasatan jenayah.

“Keputusan memilih pengarah bergantung kepada kerajaan dan suruhanjaya berkenaan. Setakat ini saya tidak boleh mendedahkan nama yang dicadang atau tempoh yang diberikan,”katanya.

Sementara itu, Wan Ahmad Najmuddin ketika ditemui Kosmo! berkata, selepas ini dia mahu berehat dan meluangkan masa bersama keluarga. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini