DAP tegur sikap Chong Sin, kerana kenyataannya beri kesan serius - Utusan Malaysia

DAP tegur sikap Chong Sin, kerana kenyataannya beri kesan serius

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Mac – DAP menegur keras Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol daripada parti itu, Chew Chong Sin kerana mengaitkan kerjasama UMNO dan Pas ketika memberi pandangan mengenai serangan pengganas terhadap dua buah masjid di Christchurch, New Zealand semalam.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, walaupun Chong Sin telah menarik balik dan memohon maaf sebanyak tiga kali, namun kenyataan tersebut memberi kesan serius.

“Nasi sudah menjadi bubur dan saya menegur sikap beliau yang tidak sensitif. Parti amat memandang serius insiden ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya lagi, DAP mengambil pendirian Setiausaha Agung, Lim Guan Eng bagi mewakili parti itu berhubung serangan pengganas di New Zealand.

Guan Eng semalam menyifatkan serangan pengganas itu bukan sahaja jenayah terhadap masyarakat Islam di Christchurch bahkan terhadap kemanusiaan secara keseluruhan.

Katanya, tiada agama yang membenarkan keganasan terhadap orang yang tidak bersalah, dan kejadian itu adalah bertentangan dengan ajaran semua agama.

“DAP berharap agar keluarga-keluarga mangsa dan masyarakat Christchurch akan dapat melalui peristiwa jenayah yang tragik ini dengan penuh kesabaran dan rasa belas kasihan terhadap mangsa-mangsa kejadian.

“Kami juga berharap agar mereka terus berada dalam keadaan sihat dan selamat, dan agar mereka yang terkesan daripada kejadian ini dapat cepat pulih,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini