KUALA LUMPUR 19 Mac – Panggilan kebakaran hutan dijangka meningkat ekoran cuaca panas dan kering berterusan yang melanda utara Sarawak iaitu di daerah Miri, Lawas dan Marudi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak, Khirudin Drahman berkata, setakat ini, pihaknya telah menerima sejumlah 139 panggilan kes kebakaran hutan dari 1 Mac hingga semalam yang melibatkan keluasan 229.29 ekar.
“Daripada 139 panggilan kes kebakaran hutan, daerah Miri telah mencatatkan jumlah panggilan tertinggi iaitu sebanyak 67 peratus (93 kes) diikuti Limbang (tujuh peratus) dan Bintulu, tujuh peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, orang ramai yang terlihat aktiviti pembakaran terbuka dipohon untuk melaporkan perkara tersebut kepada Jabatan Alam Sekitar, JBPM dan pihak berkuasa tempatan bagi mengelak kebakaran daripada terus merebak. – UTUSAN ONLINE











