Cinta, mereka tak pernah halang - Utusan Malaysia

Cinta, mereka tak pernah halang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAMA bergelar anak seni, tidak dinafikan penyanyi Sissy Iman jarang sekali hadir dengan cerita kurang menyenangkan.

Malah, kerana sering memaparkan imej ala good girl, ramai yang keliru sama ada penyanyi ini sedang cuba menutup sisi lain dalam diri atau sememangnya itu adalah karektornya sendiri.

Hal itu menjadi pertikaian kerana dalam industri realitinya ramai artis kerap bermuka-muka. Pendek kata di depan lain, di belakang terserlah belang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Membenci untuk bersikap hipokrit, tegas Sissy selama ini dia cuma menjadi dirinya sendiri dan andai itu dilihat sebagai satu masalah di mata sesetengah pihak, dia tidak mampu berbuat apa-apa.

SISSY IMAN
SISSY IMAN

“Tak dinafikan, ada hal peribadi tidak perlu dicanang pada semua. Namun, setakat ini saya tak pernah menyembunyikan apa-apa daripada orang ramai atau peminat.

“Jauh sekali mahu kawal keayuan atau terlalu berhati-hati tanpa sebab. Jadi apa yang orang lihat, memang itulah diri saya yang sebenar,” katanya.

Begitu juga dengan isu kontroversi, kata penyanyi dan pelakon berusia 24 tahun ini dia tidak pernah terlalu mengawal diri untuk tidak terjebak ke lembah itu.

Namun bersyukur kerana sekurang-kurangnya dia tidak perlu mencipta populariti segera seperti itu semata-mata mahu terus menyinar dalam industri.

“Mungkin juga ia tidak berlaku kerana berkat doa ayah dan ibu agar saya dijauhkan daripada perkara negatif. Secara tak langsung, ini memudahkan perjalanan.

“Saya tak minta perkara tak baik terjadi pada diri, apa lagi dalam zaman yang penuh cabaran dan dugaan dunia sosial ini.

“Tetapi di akhirnya saya percaya pada keberkatan doa ibu bapa itu sendiri,” tambahnya.

Mengaku punya sisi nakal dalam diri, Sissy bagaimanapun enggan orang di luar tersalah faham kerana cara dirinya bersosial juga berbeza dengan mana-mana individu sebaya.

Dikongkong? Tidaklah!

Lebih suka melekat di rumah, penyanyi lagu Pesanan Ayahanda ini mungkin dilihat bersikap anti-sosial atau berpendirian introvert (tertutup) sehingga ada yang menyangka dia tidak punya kawan.

Namun, hakikatnya gadis periang ini mempunyai sisi hidup yang sama sahaja dengan teman seusia dengannya.

“Tiada istilah saya tak keluar rumah sebab dikongkong keluarga. Ia adalah pilihan saya sendiri bila mana lebih suka andai teman-teman datang ke rumah dan melepak bersama.

“Rata-rata teman saya pun ialah orang seni, jadi bila mereka datang ke rumah, kami sama-sama berbual dan bermain muzik bersama. Nak lepak lama-lama pun tak apa asalkan ibu bapa nampak saya di depan mata.

“Bukannya tak ada kehidupan seperti tengok wayang, keluar makan-makan atau berjalan. Ada ketika saya buat juga perkara itu cuma tidak selalu,” katanya.

Lelaki takut mendekati

Dek kerana sering bersama keluarganya, ada juga usikan nakal di luar sana yang mengatakan ini juga adalah salah satu sebab Sissy sukar didekati oleh lelaki.

Dianggap mustahil andai tiada lelaki cuba mengenali hati budi, Sissy juga tidak menolak sebagai seorang wanita, dia juga mempunyai naluri untuk berpasangan dan bercinta.

“Mungkin stigma sebegitu timbul kerana orang luar melihat saya macam dikawal oleh keluarga. Sedangkan tidak dan bagi mereka yang berkawan, rata-ratanya juga selesa dengan orang tua saya.

“Ayah selalu katakan, apa juga perkara Sissy sendiri yang perlu beritahu, bukan dia yang perlu bertanya. Secara automatik, ia mendidik saya untuk bersikap bertanggungjawab.

“Ada sahaja lelaki yang ingin mendekati, tetapi saya anggap tiada yang serius. Mudah sahaja, kalau berani dan tidak ada salah, kenapa harus takut bukan?” katanya.

Mengaku sebelum ini juga pernah menjalin hubungan cinta, Sissy bagaimanapun tidak mahu terlalu membuka cerita kerana menganggap ia telah lama berlalu.

“Tipulah kalau saya tak pernah bercinta bagai nak rak. Tapi sebab tiada jodoh dan kami mempunyai hala tuju hidup berbeza, maka hubungan itu terpaksa diakhiri.

“Nah…itu juga satu bukti bahawa ibu bapa saya tak pernah menghalang soal hubungan atau cinta. Semuanya terpulang pada saya untuk melihat mana yang baik dan buruk,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata penyanyi ini lagi, dia juga berharap suatu hari nanti dipertemukan dengan seorang lelaki yang benar-benar memahami dan menerima dirinya dengan seadanya.

Tidak memilih rupa, jelas Sissy dia lebih cenderung jatuh cinta pada kebijaksanaan seseorang itu selain personaliti diri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini