TAPAH – Seorang buruh binaan warga Myanmar maut dengan kesan kecederaan di leher dan tetakan di kepala dalam kejadian di sebuah rumah kongsi di tapak pembinaan sebuah masjid di Bidor di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 3 petang itu, mangsa, Mohamad Rafiq Nazir Hussin, 25, yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Pertubuhanan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian tersebut daripada seorang lelaki tempatan pada pukul 5.05 petang.
“Menurutnya, mangsa telah ditetak rakan senegaranya di tapak pembinaan masjid bersebelahan kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor.
“Sepasukan anggota polis segera ke lokasi kejadian sebelum mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Wan Azharuddin, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian leher akibat senjata tajam di leher dan tetakan di dahi.
“Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkenaan gaji antara mangsa yang baru bekerja kira-kira sebulan di tapak pembinaan itu dengan rakannya yang lain.
“Polis kini sedang mengesan tiga lelaki Myanmar yang juga rakan rumah kongsi mangsa dikenali sebagai Rafiq, Boshr dan Habulah,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – K! ONLINE











