LUND, Sweden – Sekumpulan penyelidik Universiti Lund di sini mendakwa Bumi pernah dilanda ribut solar yang besar kira-kira 2,600 tahun lalu hasil kajian ke atas lapisan ais di Greenland baru-baru ini, lapor jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences baru-baru ini.
Ketua penyelidik, Profesor Raimund Muscheler mendedahkan kejadian yang berlaku pada tahun 591 Sebelum Masihi itu mampu menjejaskan dengan teruk teknologi moden sedia ada sekiranya berulang dalam masa terdekat.
“Kajian kami turut mengesahkan dua lagi ribut solar besar pada tahun 775 dan 994 sebelum Masihi. Walaupun jarang berlaku, ribu solar sentiasa berulang disebabkan aktiviti dalam matahari. Sebab itu kita perlu tingkatkan perlindungan terhadap kesannya kepada manusia,” katanya.
Matahari kita menghasilkan partikel berkuasa tinggi yang bergerak laju disebabkan kesan magnetik atau gelombang letusan dari permukaan matahari.
Fenomena dikenali sebagai peristiwa proton solar (SPE) itu menjadi satu ancaman kepada masyarakat moden khususnya kepada sistem komunikasi dan navigasi, teknologi angkasa lepas serta operasi pesawat komersial.
Kajian bersama saintis dari Sweden, Perancis, Switzerland, Korea Selatan, Emiriyah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat itu bagaimanapun tidak menyatakan jangkaan satu lagi kejadian ribut solar yang akan berlaku. – Agensi











