TUNIS 31 Mac – Pemimpin negara-negara Arab hari ini bersatu hati mengutuk langkah Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas Bukit Golan dan menegaskan kestabilan Asia Barat bergantung kepada penubuhan sebuah negara Palestin.
Lapor Straits Times, semasa persidangan tahunan Liga Arab di sini, hari ini, pemimpin Arab itu terbabit dalam perpecahan serantau berikutan pengaruh Iran di Asia Barat, pertikaian negara Teluk, tekanan antarabangsa terhadap perang di Yemen dan kekacauan di Algeria dan Sudan.
Namun kesemua pemimpin itu masih mempunyai sebab untuk bersatu hati menentang keputusan Presiden AS, Donald Trump menandatangani pengisytiharan minggu lalu dengan mengiktiraf Bukit Golan sebagai sebahagian wilayah Israel yang diduduki mereka pada 1981 selepas merampasnya dari Syria pada 1967.
Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud memberitahu Raja Arab, Presiden dan perdana menteri semasa permulaan sidang itu bahawa Riyadh menolak sebarang usaha yang menjejaskan kedaulatan Syria ke atas Bukit Golan. – AGENSI











