KETUA jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu anak-anak buahnya melupakan kekecewaan dengan pencapaian tahun lalu sebaliknya buka buku baharu menjelang kejohanan sulung Piala Airmarine 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 20 dan 23 Mac ini.
Selepas tewas kepada Vietnam di pentas final Piala AFF Suzuki 2018, Cheng Hoe enggan melihat pemainnya terbawa-bawa episod duka tersebut menjelang pertemuan pertama menentang Singapura minggu depan.
“Saya tidak mahu pemain yang ada dalam senarai awal 25 pemain ketika ini tertekan berdasarkan prestasi pasukan tahun lalu.
“Perkara yang telah berlalu merupakan sejarah dan kali ini kita perlu buka lembaran baharu menjelang kejohanan Piala Airmarine 2019.
“Saya harap pemain mampu menyahut cabaran baharu pada 2019 kerana saya jangkakan saingan akan datang adalah lebih mencabar,” katanya ketika ditemui di Petaling Jaya semalam.
Cheng Hoe juga menegaskan, skuad Harimau Malaya tiada istilah menggugurkan pemain meskipun senarai akhir dalam pasukan nanti hanya ada 22 pemain.
“Kita tidak akan menggugurkan tiga daripada 25 pemain yang disenaraikan meskipun senarai akhir ialah 22 pemain sahaja.
“Tiga pemain itu bukan digugurkan sebaliknya akan disimpan dan mungkin akan berlaku pertukaran menjelang aksi kedua memandangkan peraturan kejohanan itu tidak terlalu ketat dan lebih kepada aksi persahabatan sahaja,” katanya.











