MELBOURNE 19 Mac – Remaja lelaki yang diangkat sebagai wira kerana berani menghempuk telur di belakang kepala Senator Fraser Anning baru-baru ini akan mendermakan kembali wang yang diterimanya kepada mangsa-mangsa serangan pengganas di Christchurch, New Zealand.
Wang melalui dana yang diwujudkan itu adalah untuk membiayai bayaran guaman susulan tindakannya terhadap pemimpin berkenaan.
Al-Jazeera melaporkan, William Connolly yang dikenali sebagai ‘budak telur’, bertindak menghempuk telur pada kepala Anning selepas pemimpin berkenaan membuat kenyataan mengaitkan insiden yang berlaku di Christchurch adalah disebabkan kebanjiran golongan pendatang beragama Islam di New Zealand.
Satu kutipan dana secara dalam talian iaitu GoFundMe bagi membantu Connolly berdepan dengan tindakan undang-undang menyasarkan kutipan A$44,000 (RM127,204)
Kutipan itu kini dikatakan melebihi A$50,000 (RM144,550).
Menurut GoFundMe, Connolly merancang untuk mendermakan wang berkenaan kepada mangsa serangan pengganas di Christchurch.
Connolly sebelum ini menegaskan orang Islam bukan pengganas dan mereka yang melabel sedemikian adalah ‘tidak berotak’ sama seperti Anning.











