BERLIN 13 Mac – Jurulatih Schalke, Domenico Tedesco tidak akan melepaskan jawatannya meskipun pasukannya diaibkan dengan kekalahan 0-7 kepada Manchester City dalam aksi timbal balik kalah mati Liga Juara-Juara.
“Saya tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengubah skuad saya.
“Sehingga hari ini, saya masih berbangga bergelar jurulatih Schalke, walaupun ketika ini kami berdepan detik sukar, saya lebih suka untuk kekal berada di sini dan berusaha untuk memperbaikinya,” kata Tedesco.
Selepas mencatat kemenangan 3-2 di Gelsenkirchen pada aksi pertama, City bertindak ganas di Stadium Etihad dengan dua jaringan daripada Sergio Aguero ketika mencatat keputusan 7-0 sekali gus menang secara agregat 10-2.
“Saya berasa amat kecewa. Kami kalah. Ini kekalahan yang paling teruk pernah kami hadapi sejak saya menjadi jurulatih pasukan ini.
“Sudah tentu ini sangat menyakitkan. Sukar untuk saya melihat kami kalah 0-7. Semestinya kami berdepan detik sukar untuk beberapa minggu yang akan datang,” katanya lagi.
Bagaimanapun, pengarah sukan Schalke, Jochen Schneider enggan mengulas lanjut mengenai masa depan Tedesco namun sebelum ini dia pernah berkata mahu melihat peningkatan daripada segi persembahan pasukan.
Schalke berada di tangga ke-14 Bundesliga, empat mata daripada zon penyingkiran dan mereka akan bertemu Leipzig di laman sendiri, Sabtu ini. – AFP











