Boeing lalui krisis paling serius - Utusan Malaysia

Boeing lalui krisis paling serius

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK 13 Mac – Gergasi penerbangan Amerika Syarikat (AS), Boeing meramalkan pada Januari lalu bahawa 2019 akan menjadi tahun rekod untuk keuntungan pembuatan dan tempahan pesawat, khususnya melibatkan 737 MAX, model terbaharu paling laris.

Tetapi kini, kurang dari dua bulan kemudian, Boeing melalui satu krisis paling serius dalam sejarahnya kerana dua nahas melibatkan pesawat Boeing 737 MAX 8.

Jumlah syarikat penerbangan dan negara yang menggantung operasi pesawat itu semakin meningkat susulan nahas pesawat 737 MAX milik Ethiopian Airlines, ET302, dekat Addis Ababa, Ahad lalu yang mengorbankan 157 orang, kejadian kedua bagi pesawat jenis itu selepas Lion Air, Oktober tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pesawat 737 MAX, yang memulakan operasi pada Mei 2017, adalah maklum balas Boeing terhadap pesaingnya, Airbus A320 NEO, yang membolehkan pengeluar Eropah mengatasi Boeing dalam pasaran pesawat jarak sederhana.

Model MAX mempunyai empat varian iaitu MAX 7, 8, 9 dan 10, dibezakan dengan jumlah penumpang yang boleh dibawa.

Pesawat MAX 8 menelan kos AS$121.6 juta pada senarai harga dan tahun lalu menyumbang kepada satu per tiga keuntungan Boeing.

Menjelang akhir Januari lalu, sebanyak 4,661 pesawat telah ditempah, mewakili kira-kira 80 peratus tempahan syarikat.

Boeing menghasilkan 52 pesawat setiap bulan, dan merancang untuk meningkatkan kepada 57 tahun ini, dengan matlamat untuk menyerahkan 895 hingga 905 pesawat tahun ini, yang juga sebagai satu rekod.

Penganalisis Canaccord, Ken Herbert berkata, model tersebut merupakan program yang paling penting bagi Boeing dan pembekalnya.

Insiden melibatkan Ethiopian Airlines memaksa kira-kira 350 pesawat MAX 8 yang kini dalam perkhidmatan, digantung operasi.

Beberapa negara mengeluarkan larangan memasuki ruang udara terhadap pesawat berkenaan.

Amerika Syarikat sehingga kini masih membenarkan pesawat itu beroperasi tetapi pihak berkuasa penerbangan meminta Boeing melakukan penambahbaikan terhadap sistem kawalan pesawat termasuk sistem anti-pegun dikenali MCAS.

Sehingga kini, tiada syarikat penerbangan yang secara rasmi membatalkan tempahan pesawat MAX tetapi laporan media menyebut Lion Air menimbangkan untuk menukar tempahan MAX 8 kepada Airbus.

Saham Boeing susut lebih 11 peratus sejak nahas tersebut. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini