Boeing 737 MAX 8 
cetus panik global - Utusan Malaysia

Boeing 737 MAX 8 
cetus panik global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 12 Mac – Dua nahas melibatkan pesawat Boeing 737 MAX 8, terbaharu pesawat Ethiopian Airlines terhempas berhampiran Addis Ababa pada Ahad lalu, mencetuskan panik global, tular dalam media sosial beberapa warganet meluahkan kebimbangan untuk menaiki pesawat tersebut.

Malah, Senator Ame­rika Syarikat (AS), Richard Blumenthal seperti dilaporkan CNN mendesak pihak berkuasa AS menggantung operasi semua pesawat 737 MAX 8, sehingga Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) memberi jaminan ke­selamatan.

ATLAW WIHIB
ATLAW WIHIB 

Hari ini, Singapura, Australia, Malaysia dan Oman bertindak mengeluarkan arahan melarang semua pesawat Boeing 737 MAX 8 daripada memasuki ruang udaranya manakala juruterbang Aeroli­neas Argentinas dari Argentina menolak untuk menerbangkan pesawat berkenaan.

Di Britain pula, TUI Airways dipersoalkan apabila ‘masih berdegil’ meneruskan operasi pesawat itu.

Lapor Mail Online, orang ramai dilihat meluahkan kebimbangan mereka berhubung langkah yang diambil oleh syarikat penerbangan tersebut.

“Bolehkah kamu memberi­tahu jenis pesawat yang digunakan dalam penerbangan dari Ibiza? Terlalu bimbang dengan 737 MAX,” jelas seorang pengguna Twitter, Lucy Barcoo.

Pengguna lain, Michael Bibby berkata: “TUI perlu menggantung operasi pesawat itu.”

GANTUNG OPERASI 737 MAX

Terdahulu, beberapa syarikat penerbangan di China, Ethiopia, Korea Selatan, Brazil, Mongolia, Indonesia, Mexico, Cayman Islands, Argentina, Afrika Selatan, India dan Vietnam dilaporkan menggantung operasi pesawat Boeing 737 MAX 8.

FAA mengarahkan Boeing untuk mela­kukan penambahbaikan dari segi perisian anti-pegun dan pengendalian terhadap pesawat 737 MAX 8 menjelang akhir bulan depan malah FAA ketika ini bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB).

“Jika ada isu yang menjejaskan kese­lamatan, FAA akan mengambil langkah segera,” jelas FAA menerusi kenyataan.

MESEJ TERAKHIR ISTERI

“Saya akan hubungi awak sebaik sahaja mendarat.” Demikian mesej terakhir Shikha Garg yang diterima suaminya di New Delhi, India sebelum wanita itu menaiki pesawat Ethiopian Airlines, ET302, yang terhempas Ahad lalu.

Shikha dan suaminya, Soumya Bhattacharya baru tiga bulan berkahwin dan wanita itu dalam penerba­ngan ke Nairobi, Kenya, untuk menghadiri perhimpunan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bhattacharya sepatutnya menemani Shikha ke Nairobi tetapi mengubah peran­cangan pada saat-saat akhir menyebabkannya tinggal di New Delhi, lapor Times of India.

Tetapi sebelum Bhattacharya cuba membalas mesej tersebut beberapa minit kemudian, seseorang menghubungi serta memberitahu pesawat itu te­lah terhempas.

Dalam pada itu, seorang saksi berhampiran lokasi nahas, Atlaw Wihib berkata, ketika kejadian, dia sedang bersarapan sebelum pergi ke gereja.

“Saya melihat sebuah pesawat menjunam dari langit. Saya terdengar empat letupan kuat dan tidak pernah mendengar sesuatu yang kuat seperti itu. Saya berasa takut tetapi tetap berlari untuk ke kawasan nahas dan saya melihat sesuatu yang mengejutkan,” kata bapa kepada tiga orang anak itu.

Menurut Wihib, dia melihat bahagian badan pesawat di merata-rata tempat dan sesetengahnya terbakar.

737 MAX 8 TIDAK SELAMAT?

Dalam perkembangan sama, pakar keselamatan turut berbeza pandangan berhubung keselamatan Boeing 737 MAX 8.

“Saya tidak menyatakan adalah tidak selamat untuk menerbangkan pesawat itu tetapi dalam kes ini, saya terpaksa mengatakannya tidak selamat. Saya akan berhati-hati dengan MAX 8, saya minta maaf kerana bercakap sedemikian,” kata bekas penyiasat keselamatan FAA, David Soucie.

Beliau mengakui tidak akan menaiki Boeing 737 MAX 8.

Bekas Pengarah Pengurusan NTSB, Peter Goelz percaya krew penerbangan berasa bimbang tetapi masih terlalu awal untuk pihak berkuasa AS mengikuti langkah syarikat penerbangan lain.

“Tetapi saya berpendapat ‘gantung operasi’ merupakan perkara utama yang menjadi agenda semua orang,” tegas­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×