BNM kenakan tindakan penguatkuasaan - Utusan Malaysia

BNM kenakan tindakan penguatkuasaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Mac – Bank Negara Malaysia (BNM) membuat pertuduhan terhadap empat individu di Mahkamah Sesyen Alor Setar dan Kangar kerana menjalankan aktiviti penukaran wang tanpa lesen di bawah seksyen 7 (1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (MSBA) yang merupakan kesalahan di bawah seksyen 4(1) MSBA.

BNM berkata, dua daripada tertuduh iaitu Lee Boon Kian dan Lee Ai Choo mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan dijatuhi hukuman denda dan penjara.

Katanya, Boon Kian didenda sebanyak RM60,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda untuk kesalahan di bawah seksyen 4(1) MSBA dan tertuduh turut dikenakan denda sebanyak RM30,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda) kerana menggunakan perkataan ‘perniagaan perkhidmatan wang’ tanpa mendapat kelulusan, yang juga suatu kesalahan di bawah seksyen 23 (1) MSBA.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sementara itu, Ai Choo dikenakan denda sebanyak RM60,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

“Di mahkamah yang sama, tertuduh yang lain, Kok Eng Huat menuntut dibicarakan dan Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan satu penjamin. Tarikh sebutan seterusnya ditetapkan pada 28 Mac 2019.

“Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Kangar tertuduh, Chin Foh Lean menuntut dibicarakan dan mahkamah menetapkan ikat jamin RM50,000 dengan satu penjamin. Tarikh sebutan seterusnya ditetapkan pada 9 April 2019,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut BNM, mata wang asing yang dijumpai di dalam premis itu juga dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Premis yang dikendalikan oleh individu-individu tersebut di atas di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Padang Besar, Perlis diserbu pada 3 Mac 2019 dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia.

“Serbuan ini merupakan sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan yang berterusan oleh BNM untuk melindungi orang ramai daripada kemungkinan kerugian kewangan apabila berurusan dengan entiti tidak berlesen.

“Oleh itu, orang ramai dinasihati untuk tidak berurusan atau melakukan apa-apa urus niaga penukaran wang atau pengiriman wang dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang haram dan ejen-ejen mereka,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini