HULU LANGAT 2 Mac – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) membuat laporan polis berhubung kesalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Pengarah Eksekutifnya, Yap Swee Seng berkata, satu daripada kesalahan itu adalah membina pondok panas parti.
Katanya, kedua-dua parti dilihat terbabit dengan kesalahan itu iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Menurut Swee Seng, laporan polis yang dibuat pihaknya itu adalah berdasarkan pemerhatian mereka di lapangan.
“Kami mempunyai bukti bergambar dan video. Bukti-bukti itu akan diserahkan kepada pihak polis.
“Ada empat jenis kesalahan yang dikesan oleh pihak kami di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu membuat laporan polis di Balai Polis Semenyih di sini hari ini.
Empat jenis kesalahan yang dimaksudkan adalah membina pondok panas, meraih undi, membawa pengundi dengan kenderaan yang mempunyai logo atau simbol parti serta berlegar-legar di kawasan sekitar tempat mengundi.
Menurut Swee Seng, tempat-tempat yang dilihat telah melakukan kesalahan pilihan raya ialah di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Bandar Rinching, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Rinching, Sekolah Agama Batu Tiga Jalan Bangi Lama dan Sekolah Kebangsaan Kantan Permai. – UTUSAN ONLINE











