Berang ditegur halang laluan, penganggur pukul mandur ladang - Utusan Malaysia

Berang ditegur halang laluan, penganggur pukul mandur ladang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU 6 Mac – Berang ditegur kerana menghalang jalan, seorang penganggur disyaki memukul seorang mandur ladang pada Ahad lalu dengan batang besi berukuran 20 sentimeter (sm) sehingga mengakibatkan mangsa menerima enam jahitan di kepala serta cedera di bibir.

Dalam kejadian pada pukul 8 malam di kawasan Perumahan TSQ Felda Umas di sini, mangsa lelaki berusia 29 tahun dipukul oleh dua suspek lelaki masing-masing berumur 25 dan 24 tahun.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata sebelum kejadian, mangsa bersama isteri dan dua anaknya menaiki motor dari pasar tamu untuk balik ke rumah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tetapi dalam perjalanan balik, mangsa terserempak dengan seorang daripada suspek sedang berbaring di atas motosikal sebelum ditegur suspek kerana perbuatannya menghalang laluan mangsa. Suspek kemudian berundur manakala mangsa meneruskan perjalanan.

“Bagaimanapun, suspek yang tidak berpuas hati, mengekori mangsa bersama rakannya sehingga ke kawasan Perumahan TSQ sebelum menahan mangsa dan memukulnya di kepala serta badan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Fadil berkata pergaduhan itu dileraikan orang awam yang berada di kawasan tersebut dan mangsa dibawa ke bahagian kecemasan Hospital Tawau untuk rawatan.

“Susulan itu, mangsa membuat laporan polis dan kedua-dua suspek ditahan oleh sepasukan anggota polis bantuan Felda Umas, pukul 9.30 malam pada hari kejadian,” katanya.

Menurut Fadil, kedua-dua suspek direman mulai hari ini sehingga 9 Mac ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata besi. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini