IPOH – Seorang bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia selepas dia tidak sedarkan diri ketika diambil dari sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Bandar Seri Botani di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa, Muhammad Aakif Iskandar Meor Ikram berada dalam keadaan lemah dan tidak sedarkan diri ketika diambil oleh ibu bapanya.
Bapa bayi, Meor Ikram Addnan, 32, berkata, dia dan isterinya terus membawa anak ketiganya itu ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan hospital itu.
“Ketika kami menghantarnya ke pusat asuhan tersebut pada sebelah pagi, dia berada dalam keadaan sihat, cuma hanya ada selsema sedikit dan dia tidak demam.
“Dalam perjalanan untuk mengambilnya pada waktu petang, pengasuh memaklumkan dia sudah lemah,” katanya ketika ditemui pemberita di HRPB di sini hari ini.
Tambah Meor Ikram, anaknya itu baru sebulan dihantar ke pusat asuhan itu bersama abangnya yang berusia setahun.
“Kami ada bertanya pengasuh punca anak saya lemah namun dia juga tidak tahu. Kami sekarang tunggu hasil bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan sedang dijalankan. – K! ONLINE











