KUANTAN 25 Mac – Seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan diletakkan dalam kotak yang dialas dengan kain batik dan ditinggalkan di tepi surau wanita di Teluk Cempedak di sini kelmarin.
Kejadian pukul 10.30 pagi itu disedari penjaga tandas di pantai peranginan tersebut berikutan terdengar bunyi tangisan bayi berkenaan yang hanya dibalut dengan kain tuala.
Peniaga gerai makan yang hanya mahu dikenali sebagai Ruzlan, 42, berkata, dia mengetahui kejadian penemuan bayi itu setelah dimaklumkan oleh penjaga tandas terbabit.
“Penjaga tandas itu memaklumkan kepada saya dia terdengar bunyi tangisan bayi yang pada mulanya disangka anak kucing sebelum menyedari ada kotak di tepi surau wanita.
“Apabila membuka kotak itu, penjaga tandas tersebut terkejut melihat seorang bayi dibalut dengan tuala biru, lalu dia bergegas memberitahu saya,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Noor Yusof Ali ketika dihubungi berkata, pemeriksaan mendapati tali pusat bayi lelaki berkenaan sudah dipotong dan dianggarkan berusia sehari.
“Kita masih menjalankan siasatan bagi mengesan individu yang meninggalkan bayi berkenaan,” katanya.











