SERDANG – Sebanyak 1.7 juta penjawat awam di seluruh negara digesa memberi kerjasama kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan mengikat perut buat sementara waktu sehingga masalah hutang negara dapat diatasi dalam tempoh tiga tahun.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, PH telah menyusun pelbagai perancangan yang diyakini boleh mengatasi isu tersebut.
Katanya, usaha memulihkan negara tidak boleh dilakukan melalui kuasa politik semata-mata sebaliknya turut menuntut kerjasama sektor awam bagi membantu PH yang mengambil alih pentadbiran negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
“Tuan-tuan, saya harap kita boleh bersabar. Hari ini pun telah kita berjaya kurangkan hutang. Tapi untuk hapuskan hutang sebanyak RM1 trilion bukanlah mudah.
“Seluruh anggota kerajaan perlu ikat perut sedikit supaya kita boleh bayar hutang. Lepas hutang langsai, barulah kita boleh belanja,” katanya pada Majlis Perhimpunan Perdana Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bersama Perdana Menteri di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini semalam.
Tambah beliau, masalah hutang tersebut dijangka pulih dalam tempoh tiga tahun sekiranya negara masih aman dan tidak ada tindakan liar.
Menurut Dr. Mahathir, kerjasama yang diperlukan daripada penjawat awam termasuk memahami masalah yang dihadapi negara khususnya berhubung bebanan hutang.
“Amat penting untuk tuan-tuan dan puan-puan faham sejarah kita dan tahu apa sedang dilakukan oleh negara yang diperintah oleh pemerintah baharu ini, supaya dapat menghulurkan kerjasama yang erat kepada kerajaan demi kepentingan negara menuju ke arah negara maju pada 2025,” katanya.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.











