Azizulhasni kecewa lagi - Utusan Malaysia

Azizulhasni kecewa lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HASRAT pelumba berbasikal trek negara Azizulhasni Awang mengulangi sejarah 10 tahun lepas di bumi Poland, tidak kesampaian apabila terkandas di pusingan kelayakan acara pecut pada Kejuaraan Dunia 2019 di Pruzskow awal pagi semalam.

Azizulhasni yang dikenali sebagai Thepocketrocketman, jelas sekali kecewa kerana gagal mengulangi pencapaiannya itu apabila sekadar menduduki tangga ke-30 daripada 34 pelumba keseluruhan selepas mencatat masa 10.022 saat.

Menurutnya, kondisi badan yang masih belum pulih daripada kecederaan ekoran terlibat dalam kemalangan ketika acara Keirin kelmarin, sekali lagi menjejaskan kayuhannya dalam memberi saingan kepada pencabarnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sejujurnya memang terkilan, tetapi setakat itu sahaja yang mampu saya berikan dengan keadaan kondisi badan (yang masih sakit) selepas terlibat dalam kemalangan semalam (kelmarin).

“Seperti biasa, selepas tamat kejohanan besar, saya dan pasukan akan duduk semeja melakukan post-mortem dan memperbaiki mana-mana ruang yang perlu dan merencana peranca­ngan untuk musim hadapan,” katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook awal pagi semalam.

Azizulhasni sebelum ini memena­ngi pingat emas dalam acara kegemarannya, Keirin pada Kejuaraan Dunia 2017 di Hong Kong, namun gagal me­lakukannya apabila hanya menamatkan saingan di tempat ketujuh keseluruhan kelmarin.

Dia mengalami kecederaan di bahagian kiri badan serta kepala akibat kemalangan ketika beraksi di pusingan pertama acara tersebut, sekali gus menjejaskan rentak kayuhannya.

Pemenang pingat emas Sukan Asia 2010 dan 2018 itu turut meluahkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong­nya dan pelumba negara yang lain.

“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia khususnya yang sentiasa menyokong dan mendoakan saya dan pasukan. Kalah sekali bukan bermaksud kalah selamanya, yang pen­ting kita terus mencuba dan bangkit daripada kekalahan ini. Insya-Allah,” katanya.

Selain Azizulhasni, turut serta dalam acara pecut individu lelaki ialah pelumba muda, Mohd. Shah Firdaus Sahrom yang menduduki tempat ke-31 dengan masa 10.090s manakala Muhammad Firdaus Mohd. Zonis di tangga ke-34 dengan 10.242s. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini