Ayah tetap galak anak jadi bomba - Utusan Malaysia

Ayah tetap galak anak jadi bomba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 4 Mac – Ayah kepada salah seorang daripada enam anggota bomba Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang maut dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa di sebuah lombong di Cyberjaya pada 3 Oktober tahun lalu tidak akan menghalang anak dan cucunya yang mahu menjadi anggota bomba.

Wan Ibrahim Mat Daud, 61, iaitu ayah kepada Allahyarham Izatul Akma, 32, berkata, seorang lagi anak lelakinya iaitu Izatul Azhar, 23, baru sahaja mengisi borang permohonan menjadi anggota bomba untuk mengikut jejak langkah abangnya itu.

Wan Ibrahim yang mempunyai 19 anak berusia 10 tahun hingga 41 tahun dari dua orang isteri berkata, dia masih bersedih dengan pemergian Izatul Akma memandangkan arwah adalah anak paling taat namun sedar ajal maut adalah ketentuan yang Allah sudah tetapkan.

“Saya galak kalau ada yang nak jadi bomba, buat kerja apa pun bila sudah sampai masa tetap pergi juga kerana takdir Tuhan.

“Saya bersyukur kerana rakyat Malaysia dan Tuanku Sultan ingat pengorbanan anak saya, dia adalah anak yang taat dan tidak pernah membantah cakap saya.

“Pada awal dahulu dia mahu masuk unit payung terjun tetapi dia akur apabila saya nasihatkan pilih bahagian lain sebab itu dia menjalami latihan sebagai PPDA,” katanya selepas Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan 2018 Kali Kedua sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Muhammad V Ke 49 di Istana Balai Besar di sini hari ini.

Dalam istiadat itu, Wan Ibrahim hadir menerima Pingat Bakti yang dikurniakan kepada arwah anaknya yang telah disampaikan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Selain Allahyarham Izatul Akma,, seorang lagi anggota bomba dari Pasir Mas yang terlibat dalam tragedi sama iaitu Allahyarham Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, turut dikurniakan Pingat Bakti yang telah disampaikan kepada ibunya, Wan Kamilah Yaacob, 54.

Wan Kamilah ketika ditemui pula berkata, pengurniaan pingat itu menggamit semula perasaan sedih dalam dirinya namun tetap berterima kasih.

Empat lagi anggota bomba yang terkorban dalam kejadian paling tragis pernah menimpa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) adalah Mohd Fatah Hashim, Mazlan Omarbaki, Adnan Othman dan Yahya Ali. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN