KLANG – “Arwah Sajury dan Sobariah pencinta kucing,”
Demikian kata jiran pasangan tersebut, Mohd. Musa Yusof, 70, dalam menerangkan personaliti rakannya itu yang maut bersama tiga ahli keluarganya selepas kenderaan dinaiki bertembung dengan sebuah bas di Kilometer 325 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul kira-kira pukul 2.54 pagi itu, Mohd. Sajury Abdullah, 63; Sobariah Haron, 54; dan anak angkat mereka, Uwais AlQurney Abdullah, 6 tahun maut bersama dua lagi ahli keluarga mereka iaitu Muhammad Faezuan Nor Izuddin, 27 dan Nur Ilham Najwa Rahimi, 20.
Menurut Mohd. Musa, dia mengenali arwah Mohd. Sajury sejak 20 tahun yang disifatkan sebagai pendiam namun lemah lembut sehingga disenangi jiran-jiran di taman itu.
Katanya, keperibadian Mohd. Sajury juga terserlah apabila sering memberikan makanan kepada kucing terbiar di kawasan tersebut.
“Memang menjadi rutin harian arwah bersama ahli keluarganya memberikan makanan kepada kucing-kucing jalanan yang terbiar.
“Disebabkan itu, di laman rumahnya banyak bekas makanan kucing yang sentiasa berisi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tinjauan Kosmo! mendapati di rumah mangsa di Jalan Keris, Taman Rashna, di sini terdapat tujuh bekas berisi makanan kucing dan air yang ditinggalkan pekarangan rumahnya.
Mohd. Musa yang dalam perjalanan ke Hospital Raub, Pahang bersama isteri dan anaknya itu menjelaskan seorang daripada anak arwah yang kini belajar di Mesir dijangka akan pulang ke negara ini lusa.
Sementara itu, jiran mangsa mahu dikenali Zaihan, 36, memberitahu, keluarga arwah amat mementingkan kepada ilmu agama.
“Setiap petang pasti dengar mereka sekeluarga mengaji al-Quran dengan kali terakhir berbual dengan arwah Sobariah adalah Ahad lalu,” katanya. – K! ONLINE











