TEMERLOH 10 Mac – Penggunaan anjing dalam mencari punca kejadian kebakaran penting dalam memastikan penyiasatan dapat dilakukan dengan baik oleh pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Namun, di sebalik tugas yang dilakukan anjing itu, haiwan berkenaan sebenarnya turut ‘berkorban’ nyawa apabila menghidu bahan kimia yang boleh memberi kesan kepada tahap kesihatannya.
Ketua Bahagian Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Raja Saiful Iswandy Raja Hasan berkata, penggunaan khidmat anjing pengesan signifikan bagi melakukan siasatan terhadap punca kebakaran dengan lebih cepat.
“Penggunaan anjing amat penting dalam siasatan dan jika diperlukan kita akan memanggil pasukan berkenaan dari Klang melalui pusat gerakan operasi.
“Biasanya anjing dapat mengesan bahan mudah bakar dan kira-kira 90 peratus dapat kesan jika ada bahan berkenaan,” katanya ketika ditemui semasa melakukan siasatan di sebuah rumah yang terbakar di Bera di sini baru-baru ini.
Menurut Raja Saiful Iswandy, anjing yang berharga mencecah hingga puluhan ribu ringgit itu digunakan berterusan sehingga dapat dipastikan penemuan bahan bakar atau sebaliknya.
Katanya, meskipun menemukan bahan bakar dalam siasatan kebakaran pihaknya masih memerlukan ujian sampel di makmal bagi mengesahkan punca kebakaran.
Sementara itu, pengendali anjing JBPM, Lacey Elizabeth Stanley berkata, anjing jenis English Springer Spaniel yang digunakan sememangnya sudah terlatih dalam mengesan punca kebakaran.
“Anjing bernama Rory ini memang terlatih, kalau ada bahan bakar ia tidak mengambil masa yang lama untuk membantu mengesan punca kebakaran,” ujarnya.











