DHAKA 12 Mac – Pihak yang melakukan kekejaman dan memaksa ratusan ribu etnik Islam Rohingya meninggalkan Rakhine, Myanmar akan menerima kesan daripada tindakan mereka.
Lapor Press TV, perkara itu ditegaskan Ketua Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Phakiso Mochochoko ketika membuat lawatan ke kem pelarian Rohingya di Cox Bazar di sini.
Menurutnya, tiada halangan untuk pihaknya melakukan siasatan terhadap Myanmar.
“Mungkin proses siasatan akan berdepan cabaran, tetapi kami sebelum ini pernah mengendalikan situasi seperti ini dan berjaya menyelesaikannya,” katanya.
Mochochoko berkata, siasatan awal akan berkisar tentang tanggungjawab individu.
“Mereka yang bertanggungjawab, yang mengeluarkan arahan, perintah, yang terlibat secara menyeluruh dalam melakukan jenayah ini.
“Pendakwaan akan dibuat bertujuan untuk memastikan penderitaan etnik Rohingya dihentikan dan mereka yang bertanggungjawab atas kekejaman dibawa ke muka pengadilan,” tegas beliau.
Dalam pada itu, berdasarkan laporan al-Jazeera, rancangan kerajaan Bangladesh untuk memindahkan 23,000 pelarian Rohingya ke sebuah pulau tidak berpenghuni dikhuatiri akan mencetuskan krisis baharu kepada etnik berkenaan.
Pegawai khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Myanmar, Yanghee Lee memberitahu Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) tentang ketidakpastiannya, sama ada Pulau Bhasan Char yang terletak sekitar Teluk Bengal itu sesuai didiami manusia.
Pandangan itu adalah berdasarkan lawatan kerjanya ke Thailand dan Bangladesh, Januari tahun ini.
Walaupun ditentang beberapa pihak, kerajaan Bangladesh berhasrat rancangan memindahkan etnik terbabit dapat dilaksanakan bagi mengurangkan ketegangan yang berlaku di kem pelarian berkaitan.











