ALOR SETAR – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa) mengenal pasti kira-kira 120 hektar tanah di Kedah untuk dimajukan sebagai ladang solar susulan kejayaan projek pertamanya di Titi Akar, Sungai Tiang dekat Pendang sebelum ini.
Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah (gambar kecil) berkata, dengan pengalaman serta kebolehan yang dimiliki, beliau yakin projek solar di negeri ini akan terus berkembang untuk menjana keuntungan kepada pihak koperasi.
“Kami ada berbincang dengan anak syarikat kerajaan negeri untuk membangunkan hampir 300 ekar tanah (120 hektar) dan mengintai lebih banyak peluang dalam industri solar ini kerana projek rintis kami di Titi Akar berjaya memberi keuntungan sekitar RM80,000 hingga RM100,000 sebulan hasil jualan bekalan tenaga kepada Tenaga Nasional Bhd. (TNB) sejak awal tahun lalu.
“Kedah dipilih kerana cuaca panasnya lebih lama berbanding negeri lain,” katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjung hormat ke atas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir di Wisma Darul Aman di sini semalam.
Menurut Abdul Fattah, Angkasa akan mengeluarkan modal pelaburan awal sebanyak RM2 juta bagi setiap 0.4 hektar kawasan yang dibangunkan dan kira-kira 30 peratus ekuiti akan dimiliki oleh Angkasa, manakala selebihnya akan diagihkan kepada pihak koperasi apabila projek solar itu menjana keuntungan.
“Di Kedah sahaja terdapat 967 koperasi dengan 238,160 ahli dan perolehan keseluruhan koperasi berkenaan adalah kira-kira RM198 juta. Apa yang kami harapkan ialah industri solar ini akan mampu menjana pendapatan tambahan untuk anggota koperasi,” katanya.
Sementara itu, hasil pertemuannya bersama Mukhriz, Abdul Fattah menjelaskan, Angkasa diberi kepercayaan untuk membantu kerajaan negeri meningkatkan jaringan ekonomi dengan Thailand terutama di kawasan sempadan Bukit Kayu Hitam.
Katanya, sebagai cadangan awal, pihaknya akan berbincang dengan koperasi-koperasi di selatan Thailand bagi melihat bentuk perniagaan yang sesuai dan menguntungkan kedua-dua belah pihak.
“Menteri Besar mahu Angkasa sama-sama memainkan peranan dan melihat peluang yang boleh direbut bersama koperasi-koperasi di sekitar sempadan Bukit Kayu Hitam kerana bukan semua barang ada di Thailand dan kita boleh lihat peluang itu,” katanya. – Bernama











