BATU PAHAT 28 Mac – Seorang anggota polis ditahan selepas mayat seorang lelaki ditemukan ditanam di belakang rumahnya di Bandar Putera Indah, Tongkang Pechah, di sini petang semalam.
Mayat tersebut dipercayai seorang pegawai polis dan penemuan pada 5.30 petang itu adalah susulan laporan polis mengenai kehilangan seorang lelaki berusia 37 tahun pada 18 Mac lalu.
Laporan polis berhubung kehilangan lelaki itu dibuat oleh isterinya setelah suaminya tidak pulang ke rumah mereka di Kampung Tambak di sini sejurus keluar pada pukul 9 malam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, bertindak atas maklumat sepasukan polis ke lokasi dan membuat pemeriksaan di rumah suspek sebelum menemukan timbunan tanah merah di belakang rumah tersebut.
“Pemeriksaan lanjut menemukan mayat dipercayai mangsa yang dilaporkan hilang, ditanam di situ,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata suspek berusia 38 tahun itu didapati positif dadah jenis metamfetamina dan kes disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











