Anggota bomba maut langgar 4WD - Utusan Malaysia

Anggota bomba maut langgar 4WD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM – Rutin harian seorang anggota bomba ke tempat kerjanya berakhir tragedi selepas motosikal ditunggangi melanggar sebuah kereta pacuan empat roda (4WD)di Kilometer 58 Jalan Teluk Intan – Klang di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 7 petang itu, Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Muhammad Hazlami Hisamudin, 21, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala. 

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, kemalangan berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis RS150 dalam perjalanan ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam dari rumahnya di Sekinchan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, manakala 4WD jenis Ford Ranger dipandu lelaki berusia 46 tahun dari arah Sungai Besar itu menghala ke Batu 23 Sungai Nibong. 

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila 4WD tersebut telah membelok memasuki kanan simpang di lokasi kejadian. 

“Mangsa yang tidak sempat mengelak melanggar bahagian belakang kenderaan itu selepas disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini. 

Jelas beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk tujuan proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. 

Sementara itu, Ketua Balai BBP Sabak Bernam, Mohd. Saufi Zakaria memaklumkan Muhammad Hazlami telah berkhidmat di balai tersebut sejak dua tahun. 

“Arwah merupakan seorang anggota bomba yang murah senyuman selain komited dalam kerja diberikan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini