PASIR MAS 6 Mac. – Seorang kanak-kanak yang koma akibat terpelanting selepas basikalnya dirempuh keretapi ketika menyeberang landasan di Tok Uban, di sini petang semalam masih tidak sedarkan diri kerana mengalami pendarahan di bahagian kepala.
Ibu saudaranya, Rohaida Yaakub, 35, berkata, Muhammad Amirul Hakimi Muhd Yuslizam, 9, yang menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian ketika ini bergantung sepenuhnya kepada alat pernafasan.
“Doktor juga mengesahkan Muhammad Amirul Hakimi perlu menjalani pembedahan dalam masa terdekat untuk membuang ketulan darah yang ada di bahagian kepalanya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, Muhammad Amirul Hakimi dalam perjalanan pulang dari Sekolah Kebangsaan (SK)
Tok Uban ke rumahnya di Kampung Rasal selepas kelas mengikuti kelas Fardu Ain.
Difahamkan ketika kejadian, mangsa sedang menolak basikal sambil melintasi landasan namun bahagian belakang tayar basikalnya dirempuh keretapi yang datang dari arah Tanah Merah menghala ke Tumpat.
Ekoran kejadian itu Muhammad Amirul Hakimi telah terpelanting kira-kira tiga meter.
Rohaida dalam pada itu memberitahu, selain mangsa terdapat beberapa murid lain turut menyeberangi landasan itu namun hanya Muhammad Amirul Hakimi yang tidak sempat menyeberang. – UTUSAN ONLINE











