KANGAR 25 Mac – Persatuan Alumni La Trobe University Malaysia (PALTUM) menunjukkan sokongan solidariti dan simpati terhadap mangsa dan ahli keluarga mereka yang terlibat dalam insiden tembakan rambang di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand baru-baru ini dengan memakai baju ‘All Blacks’ berwarna hitam putih dan bertemakan negara New Zealand sepanjang berkunjung membuat lawatan selama dua hari ke negeri Perlis semalam.
Kemuncaknya ialah permainan woodball ‘Solidarity’ yang dilangsungkan di Gelanggang Woodball Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Dataran Sheikh Ahmad Kangar anjuran Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) yang turut menerima keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merangkap Pengerusi PALTUM..
Sukan woodball dipilih untuk tujuan ini kerana ia bersesuaian dengan status serta profil di mana negeri Perlis akan menjadi tuan rumah untuk Kejohanan Woodball Piala Dunia (WCWC) ke 9 pada 24-30 Julai 2020.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Setiausaha PALTUM, Nur Faradina Mohamed dan Timbalan Presiden PWNPs, Zaharin Haris.
Sepanjang berada di negeri Perlis, delegasi seramai 25 peserta ini turut meluangkan masa melawat dan menyampaikan sumbangan kepada Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan dan Amal Rumah Teduh Perlis di Kangar.dengan kerjasama pihak warga kerja Petronas Group Digital (ICT), Badan Kebajikan Islam Petronas (BAKIP), Marrybrown and juga Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.
Mereka turut berpeluang menyertai program ‘Kayuhan MAIPs Peduli’ dalam menjejaki dan menyantuni asnaf terpilih anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersama baginda berdua yang juga merupakan alumni bekas pelajar universiti berkenaan.
La Trobe University merupakan sebuah universiti penyelidikan multi kampus terkenal terletak di Melbourne, Australia yang pada ketika ini menduduki tempat ke-341 dalam “2019 QS World University Rankings”. Ia meletakkan universiti ini dalam skala 1.2 peratus ranking tertinggi antara universiti seluruh dunia. – Utusan Online











