Airbnb jana pendapatan RM265 bilion - Utusan Malaysia

Airbnb jana pendapatan RM265 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Mac – Syarikat hospitaliti terkemuka di dunia, Airbnb berjaya menjana pendapatan lebih daripada AS$65 bilion (RM265 bilion) daripada hampir setengah bilion tetamu di seluruh dunia sejak ditubuhkan pada 2008.

Airbnb berkata, lebih daripada 75 bandar di seluruh dunia kini telah menjadi hos kepada sekurang-kurangnya satu juta tetamu melalui Airbnb, dengan lebih dari satu per lima daripadanya adalah di rantau Asia Pasifik.

Katanya, merekod data yang dikumpul, tiga tetamu didapati mendaftar masuk ke penyenaraian Airbnb pada setiap kurang daripada satu saat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tetamu ini kini boleh memilih daripada enam juta rumah, rumah pokok, bot dan banyak lagi, merentasi enam buah benua dan Airbnb juga menawarkan lebih 25,000 pengalaman yang tersedia di lebih 1,000 bandar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Airbnb, bagi rantau Asia Pasifik, 19 buah bandar didapati telah menjadi hos kepada lebih daripada satu juta tetamu sejak Airbnb ditubuhkan.

“Bandar-bandar tersebut termasuk Kuala Lumpur, Malaysia; Auckland, New Zealand; Tokyo Japan; Seoul, Korea Selatan dan Bangkok; Thailand.

“Bukan itu sahaja malah lebih daripada 195,000 ahli komuniti Airbnb di Asia Pasifik merupakan hos dan juga tetamu di platform Airbnb,” katanya.

Hos Airbnb kini telah berkembang ke lebih 191 negara dan 81,000 bandar di seluruh dunia dan ia telah menjadi asas komuniti untuk Airbnb yang telah berkembang pesat hingga hari ini.

Sehingga kini, terdapat lebih 14,000 buah rumah dan lebih 4,000 buah istana disenaraikan di Airbnb. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini