KUALA LUMPUR 13 Mac – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berhubung siasatan terhadap kenyataan Setiausaha Agung DAP mengenai kerjasama di antara UMNO dengan Pas.
Menerusi laman Facebook miliknya hari ini Najib mempersoalkan mengapa Mohamad Fuzi memberitahu, Lim Guan Eng hanya akan dipanggil sekiranya perlu.
“Agaknya macam mana boleh tak perlu?,” soalnya.
Semalam, Mohamad Fuzi memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan berhubung kenyataan Guan Eng yang didakwa mengandungi unsur hasutan mengenai kerjasama di antara UMNO dan Pas.
Mohamad Fuzi berkata, pihaknya telah menerima 58 laporan polis di seluruh negara dan akan memanggil Guan Eng sekiranya perlu apabila tiba masanya.
Sebelum ini sebuah portal melaporkan Guan Eng menyifatkan kerjasama antara UMNO dengan Pas sebagai satu ‘pengisytiharan perang’ terhadap masyarakat bukan Melayu.
Namun, kenyataan tersebut ditukar dengan perkataan ‘pengisytiharan perang’ diubah kepada ‘menyasarkan’. – UTUSAN ONLINE –











