BALING 29 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang terlibat dalam kemalangan di kilometer 43.4 Jalan Sungai Petani-Baling, Simpang Tiga, Kampung Landak di sini, hari ini.
Bagaimanapun, mangsa, Datuk Najmi Ahmad,68, hanya mengalami kecederaan ringan dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu.
Difahamkam kereta jenis Toyota Harrier dipandu Najmi berlanggar dengan sebuah kenderaan jenis Perodua Viva dari arah bertentangan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Mohd Yusuf Shaari berkata, kereta dipandu ADUN Kupang itu dipercayai membelok ke kanan untuk memasuki simpang sebelum terlanggar kereta Perodua Viva dari arah bertentangan.
“ADUN berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya menuju ke pekan Kupang dan terbabit kemalangan di simpang Kampung Landak,” katanya di sini hari ini.
Tambah Mohd. Yusuf, semua mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu termasuk pemandu dan penumpang kereta Perodua Viva, mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Baling.
Katanya, manakala Najmi pula hanya cedera ringan dan diberi rawatan sebagai pesakit luar sebelum dibenarkan pulang ke rumah.
“Kes disiasat mengikut peraturan lalu lintas 3(2)(b) LN 166/59,” katanya.- UTUSAN ONLINE











