JOHOR BAHRU 23 Mac – Peninju profesional negara, Adli Hafidz Mohd Pauzi berjaya merangkul tali pinggang Majlis Tinju Asia (WBC) kategori super middleweight dalam Kejohanan Tinju Profesional Antarabangsa WBC Championship di sini, malam ini.
Adli yang juga pemenang pingat perak kategori light heavy 81 kilogram pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu menewaskan Bambang Rusiadi dari Indonesia dalam pusingan kelima menerusi kiraan ‘technical knockout'(TKO), sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalahnya.
Kemenangan itu dilakarnya setelah petinju dari Indonesia itu tidak mampu meneruskan perlawanan dan menarik diri pada pusingan kelima.
Menurut Adli, kemenangan keenamnya itu amat bermakna kerana ia dirangkul di negeri kelahirannya sendiri, walaupun, menerima tentangan hebat daripada Bambang pada awal perlawanan.
Katanya, kemenangannya itu juga hasil usaha dan kerja kerasnya selama dua tahun dalam arena profesional.
“Perlawanan pada malam ini adalah sebanyak lapan pusingan, tetapi dia ( Bambang) menarik diri ketika pusingan kelima kerana pusingan keempat satu tumbukan mengenai dagu dan rusuknya.
“Walaupun peninju Indonesia itu sangat berpengalaman dan profesional sejak 2002, tetapi saya gunakan kelebihan stamina saya,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan yang diadakan di Kompleks Sukan Daiman Johor Jaya, di sini, malam ini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Kastam Negeri Johor, Musa Mahadi.
Sementara itu, Adli menyasarkan lebih banyak perlawanan dan latihan dilakukan pada tahun ini.
“Saya akan meneruskan kerjaya saya dan mungkin akan berlatih untuk merebut kejuaraan seterusnya pada tahun ini. Selepas itu, saya akan menyambung latihan dan perlawanan saya ke Amerika Syarikat,” katanya. – BERNAMA











