AADK tiada halangan kajian Ketum untuk tujuan perubatan - Utusan Malaysia

AADK tiada halangan kajian Ketum untuk tujuan perubatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 27 Mac – Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) tidak menghalang mana-mana pihak yang berhasrat untuk membuat kajian terhadap ketum bagi tujuan perubatan, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Beliau berkata, ketum adalah tanaman tempatan yang senang membiak tetapi telah disalah guna menjadi dadah dalam kalangan anak muda kerana dicampur dengan bahan lain seperti ubat nyamuk, air soda dan dadah lain sehingga menjadikannya bahaya.

“Di negara ini, kita belum lagi mempunyai kajian yang sebetulnya dan diterima oleh Kementerian Kesihatan tentang kebaikan ketum yang memberi faedah kepada perubatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Buat masa ini, undang-undang kerajaan menanam ketum adalah satu kesalahan namun kita tidak mempunyai halangan sekiranya ada sebarang kajian yang dilakukan tetapi mestilah mengikut peraturan di bawah kementerian itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Pencegahan Anti Dadah 2018 di Ideal Convention Centre (IDCC), di sini semalam.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching yang turut hadir pada majlis tersebut menggesa Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) agar memperkasakan program Laluan Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) sebagai usaha mengekang kegiatan penyalahgunaan dadah terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah.

Tambahnya, program itu yang diperkenalkan sejak 2012 bertujuan memberi pengetahuan, kesedaran dan keinsafan kepada murid, guru, kakitangan sekolah serta ibu bapa agar mereka menjauhi serta menentang ancaman dadah selain menjadikan sekolah bebas dadah.

“Kerjasama dengan semua agensi kerajaan seperti AADK, PDRM, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat turut akan diperkemaskan agar ancaman masalah dadah khususnya kepada pelajar sekolah dapat dikawal bermula di sekolah rendah,” kata Teo. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini