CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membangunkan sebanyak 870 pusat internet untuk menyediakan kemudahan internet di kawasan yang kurang mendapat liputan di seluruh negara.
SKMM dalam satu kenyataan berkata, penerimaan dan sambutan dalam kalangan masyarakat tempatan terhadap kemudahan serta program yang dijalankan di pusat internet amat memberangsangkan dengan jumlah keahlian mencecah melebihi 590,000 orang dengan 57 peratus daripadanya terdiri daripada golongan pelajar.
Jelasnya, SKMM juga menjalankan pelbagai inisiatif yang menjurus kepada aspek keusahawanan termasuk mempromosi produk-produk tempatan ke pasaran yang lebih luas.
“Melalui kemudahan Internet, usahawan-usahawan tempatan dapat menjalankan perniagaan mereka secara dalam talian sekaligus meningkatkan pendapatan mereka. Dalam masa sama, permintaan yang semakin meningkat untuk produk-produk mereka.
“Secara purata, usahawan-usahawan telah menikmati peningkatan lebih daripada 60 peratus dalam sumber pendapatan mereka. Sehingga kini, seramai 16,393 usahawan dalam talian telah mengambil bahagian dalam program-program pembangunan usahawan dalam talian yang dijalankan di pusat-pusat internet di seluruh negara,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pusat internet juga bertindak sebagai sebuah pusat latihan teknologi maklumat untuk melatih golongan muda dan warga emas bagi memperkasakan mereka dengan kemahiran-kemahiran komputer asas selain memperoleh maklumat-maklumat penting.
Jelasnya, perkhidmatan lain seperti khidmat nasihat penggunaan aplikasi e-kerajaan turut disediakan bagi memudahkan masyarakat luar bandar mendapat akses kepada perkhidmatan kerajaan secara dalam talian. – K! ONLINE











