KULIM – Sebanyak 473 kes demam denggi dicatatkan di Kedah dalam tempoh dari Januari hingga 2 Mac lepas berbanding 193 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, lapan daerah menunjukkan peningkatan kes dengan Kulim mencatatkan kes tertinggi 136 kes berbanding 38 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
“Kota Setar pula menjadi daerah kedua tertinggi dengan 110 kes berbanding 22 kes, diikuti Kuala Muda (110 berbanding 46), Yan (22 berbanding empat), Sik (15 berbanding enam), Langkawi (12 berbanding empat), Baling (15 berbanding 10 kes) dan Bandar Baharu (tiga berbanding 0).
“Bagaimanapun, beberapa daerah menunjukkan penurunan seperti Pendang dengan empat kes berbanding 14, Kubang Pasu (27 berbanding 29) dan Padang Terap (19 berbanding 20 kes),” katanya kepada pemberita pada Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0″ peringkat negeri di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam tempoh tersebut juga, satu kes kematian dilaporkan tahun ini, iaitu jumlah sama dengan tempoh yang sama tahun lepas. – Bernama











