4,000 karipap, 200 kuih tepung bungkus terbakar - Utusan Malaysia

4,000 karipap, 200 kuih tepung bungkus terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG 8 Mac – Sebanyak 4,000 biji karipap dan 200 biji kuih tepung bungkus milik sepasang suami isteri dari Kampung Sipol, Tok Uban dekat sini musnah selepas rumah mereka terbakar awal pagi tadi.

Kebakaran pukul 7.25 pagi itu turut menyebabkan pasangan suami isteri itu, Faridah Mat Zin, 54, dan Wan Omar Wan Samat, 57, serta empat anak tinggal sehelai sepinggang.

 Malah peralatan membuat kuih bernilai lebih RM50,000 sumbangan Kerajaan persekutuan menerusi Projek Azam Tani turut musnah sekaligus membuatkan mereka hilang mata pencarian.

Memuatkan artikel berkaitan…

Faridah berkata, sebelum kejadian dia sempat merebus 200 biji kuih tepung bungkus yang ditempah oleh pelanggan sebelum mengejutkan suami untuk menunaikan solat subuh.

“Selepas itu saya kembali semula ke dapur dan terkejut apabila mendapati api sudah marak.

“Saya terus bertindak pantas memberitahu suami dan mengejutkan empat lagi anak yang berada di dalam rumah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Faridah yang merupakan peserta Projek Azam Tani memberitahu, dia hanya mampu melihat dari jauh tanpa sempat berbuat apa-apa kerana api marak dengan begitu cepat.

Katanya, 4,000 biji karipap itu berada di dalam peti sejuk beku berhampiran dengan bahagian dapur rumahnya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas Sapawi Setapa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada  pukul 7.29 pagi.

“Seramai tujuh anggota bersama satu pegawai telah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja memadam dan menyelamat.

 “Kita tiba di lokasi pada pukul 7.44 pagi. Bomba mengambil masa selama lima minit untuk mengawal kebakaran tersebut daripada merebak,” ujarya.

 Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) atas nama Faridah Mat Zain 03-027-02-029-9991-0.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini