KUALA LUMPUR 8 Mac- Sebanyak 40 buah rumah kongsi musnah terbakar dalam kejadian di Stesen Transit Aliran Ringan Gombak, Jalan Terminal Putra di sini awal pagi tadi.
Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.40 pagi dan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gombak, BBP Setapak dan BBP Wangsa Maju dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi memadam kebakaran diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan R.G. Manogaran serta 24 anggota anggota tiga balai berkenaan.

“Ketika tiba, pihak bomba mendapati lokasi yang melibatkan 40 rumah kongsi telah terbakar.
“Kebakaran dapat dikawal pada pukul 6.48 pagi dan api padam sepenuhnya kira-kira satu jam 30 minit kemudian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pihak forensik sedang menyiasat punca serta nilai kerugian kejadian. – UTUSAN ONLINE











