JOHOR BAHRU 8 Mac – Seramai 39 mangsa terhidu sisa kimia yang dibuang di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang semalam masih mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini hari ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, empat daripada mereka masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSI.
Katanya, empat mangsa itu membabitkan dua pelajar perempuan, seorang pengusaha kantin dan seorang pemandu ambulans.
“Antara 39 mangsa itu seramai 21 daripada mereka adalah pelajar dari dua buah sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Putih.
“Buat waktu ini, kesemua mangsa berada dalam keadaan stabil, termasuk empat yang dirawat di ICU di mana mereka telah diberi sedatif,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat mangsa di HSI, di sini sebentar tadi.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Perubatan II) HSI, Dr. Surya Marsom berkata, tiga petugas perubatan juga antara 39 mangsa yang dirawat.
“Tiga petugas perubatan itu adalah seorang doktor, seorang jururawat dan seorang pemandu ambulans,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











