SHAH ALAM – Seramai 24 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sedang leka bekerja secara haram hanya mampu terkedu selepas diserbu pihak berkuasa di sekitar bandar Kajang dekat sini semalam.
Serbuan oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada Jabatan Imigresen Selangor itu bermula kira-kira pukul 11 pagi dan berakhir pada pukul 10 malam.
Pengarah Jabatan Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan dan maklumat awam mengenai lambakan PATI bekerja di sekitar kawasan terbabit.
Katanya, ini termasuk di kedai runcit, bengkel kereta, premis cuci kereta serta gerai-gerai tepi jalan yang menggunakan khidmat pekerja warga asing.
“Hasil serbuan itu, seramai 40 orang warga asing telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 24 orang telah dikesan melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Kesemua yang ditahan itu terdiri daripada 21 orang lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 17 hingga 48 tahun. Mereka merupakan warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan Sri Lanka,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati ada segelintir PATI yang ditahan telah menyalahgunakan pas dan permit yang telah diberikan dengan bekerja di sektor yang berbeza.
Mohamad Shukri menambah, terdapat juga PATI yang menggunakan pas lawatan sosial untuk melancong tetapi digunakan untuk bekerja tanpa kebenaran.
“Kita memandang serius perkara ini dan majikan yang menggajikan PATI ini akan turut dikesan dan tindakan akan diambil mengikut undang-undang yang sedang berkuatkuasa.
“Ini termasuk mendakwa majikan di mahkamah yang boleh membawa hukuman pemenjaraan sehingga lima tahun, denda dan turut dikenakan sebatan jika disabitkan,”ujarnya.
Mohamad Shukri berkata, kesemua yang ditahan kemudiannya di bawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Selangor untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963. – K! ONLINE











