KUALA TERENGGANU 23 Mac – Seramai 200,000 pelawat disasarkan mengunjungi Kompleks Muzium Negeri di Bukit Losong, di sini bagi menyaksikan pelbagai aktiviti dan pameran yang bakal diadakan sepanjang tahun ini.
Pengarah Lembaga Muzium negeri, Che Muhammad Azmi Ngah berkata, sasaran itu dibuat memandangkan jumlah pelawat yang mengunjungi muzium itu dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini semakin meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu.
Berdasarkan rekod katanya, pada Januari lalu sahaja, seramai 15,000 pelawat telah mengunjungi muzium itu berbanding kira-kira 6,000 pelawat dalam bulan sama tahun lalu.
“Kehadiran pelawat sejak awal tahun (Januari) amat memberangsangkan, perkembangan ini mungkin disebabkan kalendar aktiviti kita pada tahun ini telah bermula sejak awal tahun lagi, tidak seperti sebelum ini.
“Antara aktiviti tersebut ialah Pameran Solo Faizal Sidik, Pameran Citra Terengganu dan Pertandingan Mewarna Warisan Kita.
“Sepanjang tahun lalu, jumlah pelawat yang berkunjung ke sini seramai 159,000 orang dan memandangkan masih terdapat banyak lagi aktiviti dirancang, kita yakin sasaran 200,000 pelawat jadi kenyataan,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Kejohanan Permainan Tradisional 2019 di pekarangan kompleks muzium tersebut di sini hari ini.
Pertandingan selama dua hari yang disertai seramai 400 peserta mewakili belia seluruh negeri itu dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim.
Antara permainan yang dipertandingkan dalam kejohanan tersebut ialah tinting bulu ayam, sepak raga bulat, congkak, selambut, dam aji, sumpit dan kaki hantu. Kejohanan ini diadakan serentak dengan program Pasar Karat yang dijayakan 54 peserta termasuk penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berasal dari Jordan.
Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program Pasar Karat sehingga 28 Mac ini ialah pameran dan gerai jualan termasuk barangan antik seperti keris, pedang, pisau batu permata, pakaian bundle dan makanan tradisional seperti bekang, opok-opok dan ketupat daun palas. – UTUSAN ONLINE.











