PASIR GUDANG – Pekarangan Dewan Komuniti Taman Pasir Putih di sini semalam dipenuhi ibu bapa pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort bagi mengetahui keadaan anak masing-masing.
Difahamkan, murid di dua buah sekolah berkenaan mempunyai simptom sesak nafas dan muntah iaitu sama seperti pelajar di dua sekolah yang terjejas berikutan pembuangan sisa toksik ke Sungai Kim Kim.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal berkata, seramai 260 mangsa termasuk pelajar dua buah sekolah berkenaan dan orang awam mendapat rawatan awal selepas terkena simptom pencemaran bahan kimia.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 102 terdiri daripada pelajar SMK Tanjung Puteri Resort manakala 56 merupakan murid sekolah rendah serta 102 orang awam.
“Hari ini (semalam) kita sekali lagi berdepan situasi cemas apabila pelajar dua buah sekolah berdekatan dengan dua buah sekolah sebelum ini turut terkena simptom seperti loya, muntah serta pening kepala.
“Seramai lapan murid SK Tanjung Puteri Resort dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dekat sini untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tambahnya, sebanyak 13 buah sekolah diarahkan ditutup sementara susulan kejadian pembuangan sisa bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim.
“Penutupan itu melibatkan SMK Pasir Putih, SMK Tanjung Puteri Resort, SMK Kota Masai dan SMK Kota Masai 2.
“Sekolah rendah pula SK Taman Pasir Putih, SK Pasir Putih, SK Tanjung Puteri Resort, SK Kota Masai 2, SK Kota Masai 3, SK Kota Masai dan SK Perigi Acheh manakala Sekolah Agama Kampung Pasir Putih serta Sekolah Agama Taman Pasir Putih.
Kosmo! semalam melaporkan, seramai 61 pelajar SMK Pasir Putih dan SK Taman Pasir Putih dikejarkan ke HSI selepas mengadu mengalami simptom yang sama selepas sekolah itu dibuka sejurus ditutup selama dua hari iaitu Khamis dan Ahad lalu.











