SERDANG – Seramai 112 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) termasuk 46 orang pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang berniaga serta digajikan secara haram ditahan dalam satu serbuan di Pasar Borong Seri Kembangan di sini hari ini.
Operasi bermula pukul 8 pagi itu dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) susulan aduan berhubung warga asing menguasai perniagaan di pasar borong.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, pemeriksaan mengejut itu dilakukan bagi memastikan pihak berkuasa memandang serius isu warga asing dikatakan memonopoli perniagaan di pasar borong.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan PATI ditahan atas kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial serta tidak memiliki permit yang sah untuk bekerja.
“Dalam serbuan itu, seramai 198 warga asing diperiksa dan 112 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen. Selain itu, seramai 23 majikan yang menggajikan mereka (PATI) tanpa permit pekerjaan sah turut ditahan.
“Tangkapan itu dibuat bagi menunjukkan pihak berkuasa mengambil berat isu warga asing memonopoli perniagaan tempatan selain memastikan majikan yang mengambil mereka bekerja mematuhi undang-undang sedia ada,” katanya kepada pemberita ketika ditemui hari ini.
Tambah Azis, operasi sebegitu akan terus dilakukan bagi memastikan warga asing tidak memiliki sebarang keistimewaan berbanding rakyat tempatan.
“Rakyat tempatan yang menjalankan perniagaan perlu membayar cukai daripada keuntungan yang diperoleh manakala mereka (PATI) pula, mendapat keuntungan bersih hasil menjalankan perniagaan secara haram tetapi tidak dikenakan sebarang cukai,” ujarnya. – K! ONLINE











