ROM 16 Feb. – Bintang muda Roma, Nicolo Zaniolo meminta ibunya Francesca Costa untuk kurang memuat naik gambar seksinya di laman sosial.
Costa memiliki pengikut seramai 173,000 di laman Instagram dan kerap memuat naik gambar dirinya namun Zaniolo bertindak mengingatkan ibunya mengenai usia.
Reputasi Zaniolo melonjak naik selepas menjaringkan kedua-dua gol ketika membantu Roma mengatasi Porto 2-1 dalam saingan Liga Juara-Juara.
Sejak menyertai Roma dari Inter Milan pada musim panas lalu, pemain berusia 19 tahun itu menjaringkan lima gol daripada 22 penampilan dalam semua pertandingan dan berkemungkinan besar akan dipanggil menyertai skuad kebangsaan Itali di bawah kendalian Roberto Mancini.
Zaniolo yang turut berada dalam skuad bawah 21 tahun Itali mendesak ibunya, Costa yang berusia 41 tahun untuk mengurangkan gambar-gambar seksi di laman sosial.
Menurut laporan Corriere dello Sport, Zaniolo memberi komen mengingatkan ibunya bahawa dia sudah mencecah usia 40 tahun di salah satu gambar yang dimuat naik di laman Instagram.
“Hentikannya ibu. Kenapa ibu bergambar dengan mulut seperti itu? Ibu sudah berusia 40 tahun!”
Pemain berusia 19 tahun itu sudah menjaringkan empat gol dalam enam perlawanan terakhirnya dan disebut-sebut memiliki kemahiran sama seperti legenda Roma, Francesco Totti.-AGENSI










