SYARIKAT pembangunan hartanah dan pemaju perumahan premium terkenal, Yong Tai tampil sebagai penaja utama bagi kejohanan golf Ace of Aces Championship yang kini dikenali sebagai Yong Tai Ace of Aces Championship.
Kejohanan Ace of Aces Championship yang diasaskan oleh majalah Golf Malaysia dan memasuki edisi ke-29 ini akan berlangsung pada 7 Mac depan di Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah (SAASGCC), Shah Alam, Selangor.
Dengan penajaan itu, Yong Tai dan majalah Golf Malaysia berharap lebih ramai pemain golf amatur akan menyertai kejohanan Yong Tai Ace of Aces Championship, malah Yong Tai turut menawarkan kemudahan untuk membeli rumah binaan syarikat tersebut kepada pemenang utama.

Menurut Naib Presiden Projek Yong Tai, Siu Woei Ann, melalui penajaan kejohanan golf ini, Yong Tai memberi peluang kepada para pemain untuk memiliki rumah kediaman idaman.
“Yong Tai sebenarnya mahu membantu peserta golf merealisasikan impian mereka bukan sahaja dapat bermain golf tetapi juga boleh memiliki rumah sendiri,” katanya dalam majlis penajaan Yong Tai Ace of Aces Championship di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengurus Besar Golf Malaysia, Andrew Ng mengalu-alukan penajaan daripada Yong Tai dan berharap dengan adanya penajaan tersebut mampu menarik lebih ramai peserta menyertai kejohanan Yong Tai Ace of Aces Championship.
“Golf Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yong Tai kerana sudi menjadi penaja utama kejohanan ini. Semoga penajaan Yong Tai tidak hanya untuk tahun ini sahaja,” katanya.











