KUALA LUMPUR 31 Jan. – Pelantikan ahli-ahli politik sebagai ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dikhuatiri membahayakan kesucian perjuangan institusi Islam di negara ini.
Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay memberitahu Utusan Malaysia:
“Yadim bukan tempat untuk dipolitikkan tetapi dakwah Islam. Sepatutnya mereka di dalam ins

titusi itu adalah mereka yang tersohor dan terbukti pakar dalam bidang agama.”
Beliau mengulas pelantikan beberapa ahli lembaga pemegang amanah Yadim dalam kalangan ahli politik termasuk calon Pilihan Raya Umum dari Parti Amanah Negara (Amanah), Nik Omar Nik Abdul Aziz sebagai Yang Dipertua Yadim sementara Pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah, Zolkharnain Abidin pula merupakan Timbalan Yang Dipertua Yadim.
Kira-kira 10 ahli lembaga pemegang amanah lantikan politik termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh, Sheikh Omar Ali yang merupakan ahli DAP.
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Datuk Mohamed Ezam Mohd. Nor dalam laman Twitter berkata:
“Kehadiran seorang atau dua ahli politik dalam badan itu adalah perlu bagi mendapatkan input selain tindakan sudut politik. Bukan hampir semua ahlinya terdiri orang politik.”
Ketua Pegawai Eksekutif Perhimpunan Belia Islam Dunia, Shahrin Awaludin pula berkata, mana-mana pihak tidak boleh membuat penghakiman awal kerana kemungkinan mereka boleh memberi idea-idea baharu kepada yayasan berkenaan.











