XOX sasar 100,000 pelanggan - Utusan Malaysia

XOX sasar 100,000 pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – XOX Mobile Malaysia (XOX), penyedia penyelesaian digital, mengunjurkan seba­nyak 100,000 pelanggan bagi pengenalan produk terbaharu teknologi komunikasi digitalnya, eSIM pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ng Kok Heng berkata, sasaran tersebut yakin dicapai selepas melihat kepada teknologinya yang bersifat global selain turut digunakan oleh jenama terkemuka Apple dan Google Pixel dalam model telefon pintar terkini mereka.

“Setiap model telefon terkini iPhone seperti iPhone Xs, XR dan Xs Max serta Google Pixel 3 mempunyai cip elektronik yang dipasang di dalam peranti ber­kenaan.

Teknologi ini turut memboleh­kan proses pendaftaran dilakukan secara online sekali gus memudahkan pengguna.

“Sebaik sahaja pengguna melengkapkan pendaftaran, talian mereka akan terus diaktifkan dengan serta merta. XOX eSIM ini dilancarkan bagi mematuhi piawaian Sistem Global bagi Peranti Komunikasi Mudah Alih (GSMA),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran eSIM di pusat beli-belah Starling di Damansara Utama di sini semalam.

Menurut Kok Heng, pelancaran eSIM tersebut adalah selaras dengan usaha syarikat dalam menerapkan kemajuan teknologi selain mempromosikan gaya hidup digital kepada rakyat Malaysia.

“Kami yakin dapat menyaksikan pertumbuhan positif daripada segi pengaktifan pengguna sejajar dengan peningkatan jumlah pelanggan XOX di Malaysia.

Peningkatan ini disokong oleh jumlah pengeluar peranti serasi eSIM di pasaran semasa termasuk kenderaan sambungan canggih.

“Pengenalan XOX eSIM ini merupakan permulaan bagi syarikat dalam menghasilkan lebih banyak inovasi dan penyelesaian digital kepada pengguna serta pasaran,” ujarnya.

Sementara itu, Kok Heng berkata, pelanggan eSIM boleh menikmati penggunaan internet berkelajuan tinggi dalam tempoh 24 jam sehari malah, menerusi pelan XOX Black dengan ciri utama kalis lupus (burnproof), data yang tidak digunakan boleh dibawa ke bulan seterusnya.

Tambah beliau, pelan ini tidak mempunyai kontrak dan ia memberi peluang kepada pengguna telco lain yang terikat dengan kontrak untuk memilih XOX sebagai pembekal rangkaian telefon kedua atau boleh digunakan apabila liputan rangkaian utama mereka terhad di kawasan tertentu.

“Kami menawarkan pelan se­rendah RM39 hingga RM149,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN