Setelah lebih tiga dekad lamanya, Proton akhirnya mengeluarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) pertamanya menerusi kerjasama dengan Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. yang memiliki kepentingan sebanyak 49.9 peratus dalam syarikat automotif negara.
Proton X70 yang asalnya dinamakan Geely Boyue telah dilancarkan pada 12 Disember 2018 dan menampilkan 4 varian iaitu:
* 1.8TGDi Standard 2WD AT
* 1.8TGDi Executive 2WD AT
* 1.8TGDi Executive AWD AT
* 1.8TGDi Premium 2WD AT
Setelah pelancarannya, pada Januari penulis bersama media permotoran lain telah diterbangkan ke Pulau Langkawi bagi menguji model SUV Proton itu yang menjadi senjata untuk syarikat automotif nasional itu bersaing dengan pengeluar SUV lain dari Jepun, Korea Selatan dan Eropah.
Bagaimanapun, penulis hanya diberi kesempatan menguji dua varian iaitu 1.8TGDi Executive AWD (pacuan semua roda) AT (transmisi automatik) dan 1.8TGDi Premium 2WD (pacuan dua roda) AT.
Reka Bentuk Malaysia
Walaupun berasal dari China, X70 telah diberi suntikan tempatan melalui garis kontur pada jeriji hadapan. Jika dilihat, ia seperti busur tradisional dengan corak pengulangan bercirikan infinite weave dengan logo Harimau Malaya ditengahnya.
Lampu hadapan berkotak dengan lampu nyalaan siang (DRL) dijadikan alis kening seperti mata harimau yang tajam bagi menjadikan X70 tampak garang dan tegap.
Jika dilihat pada garis badannya, ia diinspirasikan melalui bentuk kucing dengan garisan tirus ke belakang.
Lampu belakangnya pula agak kecil, memanjang dan kedudukannya agak sedikit tinggi. Lampu kabus belakang terletak di tengah bampar sama seperti model Iriz, Saga, Persona dan Exora. Lampu reflektor pula diletakkan pada sisi bampar.
Kemasan dalaman
Proton menggambarkan ruang dalamannya sebagai The Haven (syurga) kerana mampu mewujudkan rasa ketenangan dan kedamaian kepada penumpang dan pemandu.
Bagi penulis, ya boleh dikatakan ada syurga terutamanya pada kerusi balutan kulit nappa yang lembut dan mengikut garis lenggok tubuh. Dengan kata lain, ia selesa untuk mengharungi semua bentuk perjalanan muka bumi.
Tetapi, papan pemukanya agak mendatar tanpa sebarang elemen kejutan yang menonjol. Corong pendingin hawa di tengah papan pemuka kelihatan pelik kerana reka bentuknya yang kecil dan memanjang.
Corak tenunan menjadikan penampilan yang halus pada pemegang pintu dan kemasan sisi termasuklah jeriji pembesar suara Kenwood.
Pada bawah corong pendingin hawa, terdapat skrin sentuh antara muka berasaskan Android bersaiz 8 inci dengan paparan warna penuh 1280 x 720 yang dilengkapi ruang memori dalaman sebesar 32 Gigabit. (GB)
Sistem ini juga mempunyai sambungan Wi-Fi sebagai hotspot mudah alih. Paling bagus ialah enam port USB untuk mengecas peranti mudah alih dan sistem penapis udara bagi menghasilkan udara yang segar dan sihat kepada pemandu dan penumpang.
Pada konsol tengah, terdapat butang bantu pemanduan. Ia seperti butang pelarasan suhu dua zon. Pada sisi kiri dan kanan tombol transmisi ialah butang mod untuk pemanduan seperti mod Eco, Sport dan Normal.
Semua varian model ini akan menawarkan Sistem Maklumat Kokpit Bersepadu Termaju (GKUI) yang memberikan pelbagai fungsi pengguna serta keupayaan untuk terus berhubung melalui peranti mudah alih.
Ciri paling best X70
Walaupun terdapat butang bantu pemanduan, teknologi perisian pengecaman suara ‘Hi Proton’ menjadikan X70 ini bebas tangan untuk beberapa tugas. Arahan mudah untuk operasi tingkap, menyelaraskan pendingin hawa dan akses aplikasi navigasi untuk mencari tempat-tempat menarik menjadikan jari anda tidak perlu berada pada skrin infotainmen.
Malah, ayat mudah seperti ‘very panas’ boleh difahami oleh `Hi Proton’ untuk mendinginkan kabin. Cuma jangan mengeluarkan arahan dalam bahasa Malaysia sepenuhnya atau bahasa Inggeris dengan slang kenegerian. Ia akan memeningkan ‘Hi Proton.’
Dengan menggunakan sistem operasi berasaskan Android, GKUI menawarkan pengguna peranti mudah alih menggunakan perisian dengan kemampuan percerminan penuh. Akhir sekali, sistem ini juga boleh ditambah baik dengan over-the-air (OTA) percuma yang dikemas kini untuk meningkatkan pengalaman pengguna dan mengekalkan aplikasi sedia ada.
Ujian jalan raya
Oleh kerana Pulau Langkawi bukanlah besar pun dan ujian jalan raya hanya dalam masa tujuh jam sehari, agak sukar untuk menilai X70 ini dengan sepenuh hati. Lagipun hanya dua varian yang dinilai iaitu 1.8TGDi Executive AWD dan 1.8TGDi Premium 2WD.
Proton X70 ini dikuasakan dengan gabungan enjin dan kotak gear yang baharu. Jentera ini digerakkan oleh enjin 1.8 liter Turbocharge Gasolin Direct Injection (TGDi) yang mengeluarkan 184 PS pada 5,500rpm dan kilas 285 Nm @ 1,700 – 4,400 rpm,
Ketika ujian mendaki di Gunung Raya, penulis memandu varian pacuan semua roda (AWD). Ketika mengambil selekoh tajam pada 70 kilometer sejam (km/j) terasa ada cengkaman pada roda belakang walaupun pada psikologinya ada terasa sedikit beroleng.
Oleh kerana jarak kelegaan dari bumi yang agak tinggi untuk X70, sedikit sebanyak akan mempengaruhi kestabilan dan daya tarikan graviti ketika pemanduan. Cuma untungnya kerana ia pacuan semua roda, maka tidak terasa bimbang.
Sistem AWD, telah dibangunkan oleh Borg Warner dan keselamatan yang telah ditambah baik dan pengendalian dalam keadaan jalan yang tidak elok.
Tahap NVH juga telah dipertingkatkan menjadikan ruang kabin lebih senyap. Malah bunyi deruan angin pada kelajuan 100 km/j tidak begitu ketara. Jika memotong sekalipun anda tidak mendengar jeritan enjin yang kuat memasuki kabin. Cuma akan terasa sedikit sentapan pada enjin untuk meledakkan kuasanya secara maksimum.
Bagi model 1.8TGDi Premium 2WD (pacuan dua roda), ia adalah model yang lebih premium. Anda akan kagum apabila memasuki kabinnya kerana dihidangkan dengan kerusi kulit Nappa yang berwarna kelabu.
Selain itu ia menawarkan bumbung panaromik untuk pencahayaan yang optimum pada ruang kabin.
Dari segi enjin dan pemanduan, ia adalah pacuan dua roda yang sedikit sebanyak memberi persepsi yang tidak sebaik pacuan semua roda ketika mengharungi selekoh tajam. Bagaimanapun, kuasa dan pecutannya tidak berbeza sangat dengan model pacuan semua roda.
Jadi, adakah X70 ini mampu meneruskan kejayaan Proton pada masa akan datang? Kita tunggu dan lihat. Khabarnya adik kepada X70 iaitu X50 sedang diuji di jalan raya pada waktu ini. Sama-samalah kita nantikan.










