KUALA LUMPUR 17 Feb. – Perenang negara, Welson Sim mensasarkan untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo buat kali kedua menerusi kategori A selepas meraih pingat emas dalam Terbuka Victoria di Melbourne, Australia semalam.
Atlet berusia 21 tahun dari Kuching, Sarawak itu berkata, dia mahu melakukannya dalam Kejohanan Dunia di Gwangju, Korea Selatan pada Julai depan atau Sukan SEA di Manila, hujung tahun ini.
“Saya harap saya dapat melayakkan diri ke Olimpik buat kali kedua di bawah kategori A. Itu adalah sasaran utama saya dan saya harap saya dapat melakukannya dalam Kejohanan Dunia atau Sukan SEA di Filipina hujung tahun ini,” katanya.
Dalam kejohanan di Melbourne itu, Welson melakar kejutan besar apabila menewaskan juara Olimpik Rio 2016, Mack Horton buat kali kedua ketika memenangi acara 400m gaya bebas menerusi catatan masa 3 minit 54.77 saat.
Wakil tuan rumah, Horton bagaimanapun, menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan 3:55.43s dalam aksi akhir itu, semalam.
Horton merupakan pemegang pingat emas 400m gaya bebas di Olimpik Rio, namun kecundang kepada perenang China, Sun Yang di Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary setahun selepas itu.
Mengulas lanjut, Welson berkata, dia membuat keputusan berbaloi untuk menetap di Australia sejak sebulan yang lalu bagi menjalani latihan di Kelab Renang Vicente di Melbourne, yang juga merupakan tempat latihan Horton.
“Ini adalah sebahagian proses latihan buat masa ini dan saya akan meneruskannya,” ujar Welson.











